sEumUR HidUP RM1o ShJ."JIMAT SAMPAI MATI"

Wednesday, April 13, 2011

Tip Kewangan - Jangan meminjam untuk melabur


Sifat yang paling tidak baik ialah tamak kerana ia boleh menyebabkan seseorang hilang pertimbangan ketika membuat keputusan pelaburan dengan meminjam wang untuk melabur. Sifat tamak menyebabkan pelabur merasakan mereka boleh meminjam untuk mendapatkan keuntungan daripada pelaburan dan mendapat pulangan yang lebih besar bagi membayar pinjaman asal.

Prinsip asas pelaburan menyatakan tahap pulangan terjamin yang berkekalan melebihi kadar simpanan asasi atau deposit tetap yang ditentukan oleh sistem adalah tidak masuk akal. Jangan meminjam untuk melabur. Jika anda tidak mempunyai dana yang cukup, adalah lebih baik mengumpulkan simpanan terlebih dahulu.

Walaupun anda sudah memiliki wang yang cukup, anda dinasihatkan supaya tidak melabur untuk hanya mendapat pulangan yang cepat dan tinggi. Anda perlu berhati-hati dengan skim yang menjanjikan keuntungan dengan risiko yang minimum atau tiada risiko langsung.

Adalah lebih baik untuk tidak melabur dalam pelaburan berisiko tinggi melainkan anda sudah bersedia dan boleh menanggung perubahan yang besar - sesetengah pelaburan melibatkan tahap spekulasi yang tinggi dan anda mungkin tidak sanggup menghadapinya jika anda mempunyai komitmen kewangan dan tidak mampu untuk kerugian wang.

Percaya kepada nasihat pelaburan yang lemah: Jangan tertekan untuk membuat keputusan pelaburan dan sentiasa berhati-hati ketika berhadapan dengan taktik jualan agresif yang mendesak anda keputusan dan bertindak secara melulu. Kebanyakan pelabur masih gemar bergantung kepada tips untuk membuat duit.

Tips seperti maklumat dalaman mungkin tidak tepat sama sekali. Tips itu juga mungkin diperolehi daripada beberapa individu dan sekiranya anda tidak boleh menamakan sumber yang boleh dipercayai, maka terdapat elemen risiko yang besar di sini.

Walaupun anda mungkin boleh mempercayai asal usul atau sumber maklumat, namun berita yang telah menjadi buah mulut orang mungkin telah berubah atau bertukar daripada maklumat asal. Pada masa itu, mungkin sudah lewat untuk membuat keputusan atau mungkin anda memasuki pasaran apabila pelabur yang lebih sofistikated sudah pun keluar daripada pasaran.

Keputusan pelaburan yang bijak tidak sepatutnya berasaskan tips, tetapi berdasarkan analisis asas yang disediakan oleh penasihat profesional. Oleh itu, sebelum anda membuat sebarang keputusan pelaburan, pertimbangkan soalan-soalan berikut:

* Adakah saya mempunyai wang yang cukup untuk kecemasan?

* Sudahkah saya membuat peruntukan bagi melindungi keluarga saya sekiranya sesuatu yang tidak diduga berlaku?

* Apakah matlamat pelaburan saya?

* Berapa banyak wang yang ada untuk saya membuat pelaburan jangka sederhana dan jangka panjang?

* Adakah saya benar-benar memahami produk yang saya labur?

* Adakah pelaburan ini sesuai dengan portfolio saya secara keseluruhan?

* Adakah saya mempunyai fleksibiliti untuk menjual pelaburan sekiranya berlaku kecemasan?

* Adakah saya benar-benar memahami risiko yang ada dan tahu tahap toleransi terhadap kerugian?

Penasihat kewangan mampu memahami keperluan kewangan anda yang spesifik dan memberi anda nasihat kewangan yang sesuai untuk menghindari isu-isu lazim yang disebutkan di atas. Mereka boleh memberi anda tips yang bernilai tentang cara menangani atau menguruskan pelaburan anda sepanjang masa.

Paling penting ialah penasihat itu perlu memahami objektif peribadi anda dalam pelaburan dan menerangkan perbezaan antara produk-produk pelaburan yang ada bagi memastikan objektif dan matlamat kewangan anda secara keseluruhan dapat dipenuhi.

(Artikel ini disumbangkan oleh Alliance Bank (M) Bhd.)

- UTUSAN